Sunday, October 2, 2011

Buat Seorang Hawa...

Cemburu kulihat Sang Pungguk memadu rindu dengan Sang Bulan. Cemburu kulihat Sang Helang terbang berdua-duaan. Cemburu jua aku pada Si Belangkas yang hidup berkasih-sayang. Tapi aku,terus kepiluan.
Kuterbang bebas dalam duniaku. Ibarat Sang Helang yang gagah melebar sayap di ufuk timur,berani... Kuibaratkan kau Hawa umpama sayap kiriku ini. Lantaran tinggi nilaimu di hati lelaki. Kuterbang setinggi-tinggi meredah awan tanpa ada tembok yang membataskan, tanpa ada dinding yang menghalang. Tatkala sesekali, bayu kencang menerjah, kuterbang rendah.

Hawa...
Bukan kutewas dengan bayu nan kencang. Biarpun aku umpama helang yang gagah perkasa dan raja udara yang unggul di awanan. Namun andainya sebelah sayapku kuat tapi sebelah lagi tergeliat... Kutidak mampu menongkah ribut yang menggila mengikut haluanku... Berat untukku menghadapinya dengan sayap kanan cuma. Kau tahu Hawa, aku jadi derita...

Hawa...
Kuteruskan jua perjalanan dengan ketabahanku. Ku bawamu bersama dalam kepayahan. Kau memarahiku kerana egoku. Kau leteri semahumu. Tanpa kau dengari kalamku. Andainya hilang ego lelaki, maka musnahlah dunia tanpa kepimpinan. Kerana ego mencipta karisma dan kepimpinan.
Maka tatkala egoku menjadi egoisme, maka di situ aku perlukan teguran. Terbang di langit tanpa batasan, sering ku terbabas, hilang arah dan panduan. Kuharapkan kritikan serta pesanan berpanjangan, agar kutetap terbang di awanan, menjadi jaguh helang terbilang. Tapi tafakurku sejenak di pepohonan...

Hawa...
Kau diciptakan indah, bukan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya, tapi daripada rusukku, dekat dengan dadaku untuk dilindungi, dekat pula dengan hati untuk disayangi dan dicintai.

Hawa..
Kutahu kau ibarat rusuk nan rapuh dan bengkok, perlu hati-hati untukku luruskan. Lantaran itu, kudatang bukan untuk menunjuk cengkaman kuku tajam di kaki... Bukan juga mengugut dengan paruh berbisa... Tapi supaya direnung bersama. Bahawa antara kita perlu sentiasa baiki diri.

Hawa...
Namamu indah, biarpun di mana, di segenap jiwa
Kaulah ibu, terukir kasih di paparan dada
Kaulah kekasih, dirindui saban ketika
Kaulah puteri, pengubat duka, penyejuk mata
Kaulah adik, pemberi semangat paling berguna
Kaulah mukminah, terukir indah di setiap dada

Ketahuilah Hawa,
Kau kupuja....
Kerana dari rahimmu melahirkan kaumku yang berhati waja
Kerana ayunan lembut tanganmu membesarkanku dengan terjaga
Kerana kewanitaanmu teman hidup tempat cintaku berbicara
Kerana kaulah ladang tanaman, taman nafsuku yang bergelora
Kerana kau adalah hiasan, paling indah dari dunia seisinya

Kudatang padamu Hawa...
Bukalah hatimu...
Agar dapat kuterbang menguasai angkasa dan alam
Dengan kedua-dua sayapku yang kuat dan mantap
Agar bukan sahaja kudapat menongkah angin nan kencang
Bahkan sayap ku kibar penuh bangga
Mencipta angin

No comments:

Post a Comment